ABSTRAK
Teknologi berkembang seiring dengan tamadun manusia, dan sentiasa mengubah segala-galanya, termasuk cara dan bentuk komunikasi dari era purba, era literasi, era percetakan, era elektronik hinggalah kini yang memasuki fasa kelima dengan penekanan pada komunikasi interaktif yang ditandai dengan teknologi berasaskan Internet dan pengkomputeran dan menyaksikan media baharu atau era media kedua mula mengambil tempat. Komunikasi tidak lagi terhad di ruang fizikal atau secara bersemuka, malah ruang siber sudah menjadi tempat pertemuan dan aktiviti komunikasi orang ramai, terutama dengan pembangunan teknologi web 2.0 yang melahirkan jaringan sosial dalam talian sebagai salah satu platform media sosial yang semakin popular kerana menggabungkan tiga elemen utama, iaitu teknologi, perbualan, dan perkongsian maklumat serta kemampuannya mewujudkan perkenalan baharu dan meluaskan jaringan atau rangkaian sosial yang sedia ada. Laporan Wave 5 oleh Universal MacCann menyatakan seramai 1.5 juta orang melawat jaringan sosial dalam talian setiap hari. Pemerhatian dan analisis kandungan yang dilakukan terhadap laman sosial terpilih menunjukkan kebanyakan jaringan sosial menawarkan ciri tambahan untuk faedah penggunanya termasuk bahagian untuk muzik, muat naik video, dan pembentukan kumpulan. Tinjauan soal selidik terhadap 400 pengguna aktif Malaysia mendapati majoriti bersetuju memudahkan pembentukan jaringan persahabatan yang lebih luas, lebih mudah digunakan, lebih menyeronokkan dan dilihat sebagai lanjutan dan tambahan kepada interaksi di luar talian serta akan menggantikan media komunikasi lain pada masa akan datang. Dengan peluangan masa yang agak tinggi, iaitu antara satu hingga dua jam, malah ada yang melebihi dua jam pada satu-satu sesi log masuk, ini menunjukkan masyarakat di Malaysia―sama seperti yang dialami di peringkat global―mengalami perubahan dalam bentuk dan aktiviti komunikasi mereka dengan meluasnya penggunaan jaringan sosial dalam talian yang lahir daripada perkembangan teknologi media baharu.
* Ini merupakan draf abstrak tesis PhD yang sedang diusahakan untuk dihantar dalam masa terdekat ini.