BULAN depan ialah Bulan Bahasa Kebangsaan. Ia merupakan kempen tahunan yang digerakkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melibatkan banyak acara.
Pada bulan Oktober juga ada sambutan sempena Hari Pahlawan yang diadakan setiap tahun. Pada Selasa lalu dilancarkan satu program yang tercatat pada logonya melibatkan bunga raya dan Tugu Negara. Kedua-duanya lambang nasional Malaysia.
Tetapi acara yang tertera pada logo itu ialah Pahlawan Challenge in conjunction with Rayuan Hari Pahlawan 2011.
Semua itu lambang nasional: Bulan Bahasa Kebangsaan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Hari Pahlawan, bunga raya dan Tugu Negara.
Oleh kerana Bahasa Jiwa Bangsa, maka Bahasa Malaysia adalah jiwa bangsa Malaysia.
Memang benar, ketahanan sesuatu bahasa itu terletak pada kekuatan penuturnya, khususnya dari segi ekonomi.
Sekiranya penutur sesuatu bahasa itu lemah, maka sudah tentu bahasanya juga tidak mempunyai kedudukan. Maka seringkali ditekankan bahawa orang Melayu mestilah menguatkan kedudukannya dalam ekonomi sekiranya mahu bahasanya turut dihormati.
Jadi keutamaan sekarang ialah meningkatkan kedudukan ekonomi orang Melayu. Oleh kerana untuk berjaya dalam ekonomi, yang sudah tentu menuntut keunggulan dalam penguasaan ilmu, maka orang Melayu mesti menguasai bahasa Inggeris.
Ini kerana, menurut fahaman berkenaan, bahasa Inggeris akan memberi kejayaan ekonomi pada orang Melayu. Dengan penguasaan bahasa Inggeris, ia akan membuka pintu ekonomi seluas-luasnya pada orang Melayu.
Tetapi jika orang Melayu terus terkepung dengan bahasa sendiri, maka mereka dikatakan tidak akan maju. Bila mundur dan lemah, maka bahasa Melayu juga lemah dan hilang pengaruhnya.
Ekonomi
Justeru orang Melayu mesti menguasai bahasa Inggeris dan menguatkan kedudukan ekonominya. Apabila ia mempunyai kedudukan ekonomi yang kuat, dengan sendiri bahasanya, iaitu bahasa Melayu akan turut kukuh dan disegani.
Itupun kalaulah orang Melayu masih mahu dan mahir menggunakan bahasa ibundanya.
Jika orang Melayu meninggalkan bahasa ibundanya dan ketika itu, sama ada sudah kuat kedudukan ekonominya atau berada pada takuk yang sama, apakah mahu mereka kembali menggunakan bahasa sendiri?
Untuk apa mereka menggunakan bahasa Melayu jika Inggeris sudah menjadi sebati dalam jiwanya. Tidak ada sebab.
Sekarang pun banyak orang Melayu yang tidak mahu menggunakan bahasa sendiri tanpa sebab. Mereka menggunakan perkataan-perkataan Inggeris dan menjadikan bahasa yang dituturkannya begitu rojak. Sedangkan perkara ini tidak perlu.
Banyak ketikanya pendengar, pembaca atau penonton adalah mereka yang faham bahasa Melayu, tetapi tetap digunakan bahasa Inggeris.
Lihatlah sekeliling anda, di tempat-tempat awam. Di Malaysia sekarang, umumnya semua rakyatnya tahu bahasa Malaysia. Semua belajar Bahasa Malaysia baik di Sekolah Kebangsaan mahupun Sekolah Jenis Kebangsaan.
Tetapi apabila mahu meraikan orang, dipaparkan papan tanda Welcome. Apabila diucapkan terima kasih, dikatakan Thank You. Semua ini adalah di tempat awam.
Tanda-tanda bahaya juga menggunakan bahasa Inggeris: Mind Your Steps. Seolah- olahnya orang yang lalu lalang tidak faham jika ditulis dalam Bahasa Malaysia.
Oleh kerana hakikatnya ialah penggunaan sesuatu bahasa itu bukan semata-mata atas keperluan untuk berhubung, tetapi adalah kerana kecintaan terhadapnya. Maka dapat dirumuskan rasa kasih sayang kepada bahasa sendiri sudah kian pudar.
Maka tidak hairanlah ada sesetengah golongan yang bertungkus-lumus memperjuangkan bahasa Inggeris. Ini bukan soal ekonomi tetapi semata-mata memang sudah tidak sayang kepada bahasa sendiri.
Mereka kemudian cuba mentafsir semula konsep patriotisme. Maka dikatakan bahawa memperjuangkan bahasa Inggeris tidaklah bermakna seseorang itu tidak patriot. Malah mereka yang memperjuangkan bahasa Inggeris adalah sebenarnya nasionalis. Dan bukannya pihak yang memperjuangkan Bahasa Malaysia.
Ini kerana dikatakan bahawa orang yang memperjuangkan bahasa Inggeris adalah bertujuan untuk meningkatkan kedudukan rakyat negara ini, baik di bidang ilmu mahupun ekonomi. Maka seseorang yang sayangkan bangsanya, dan memikirkan masa depan bangsa sendiri, pastinya mahu bangsanya berjaya. Justeru dengan percaya bahawa menguasai bahasa Inggeris itu boleh membawa kejayaan kepada bangsanya, justeru sesiapa yang mendokong bahasa Inggeris, maka mereka adalah patriot dan nasionalis.
Kepentingan
Sedangkan sudah berulangkali dinyatakan sejak zaman sebelum merdeka lagi bahawa pejuang-pejuang bahasa Melayu tidak pernah menolak kepentingan penguasaan bahasa Inggeris dan kepentingan kedudukan ekonomi.
Belajarlah bahasa Inggeris. Sememangnya seorang yang sayangkan bangsanya akan menyeru supaya bahasa Inggeris dikuasai supaya orang Melayu turut berjaya.
Apa yang menjadi isu ialah, usah ketepikan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan.
Dapat dilihat dengan jelas waktu ini, sedikit demi sedikit dan kini sudah pun berleluasa, rakyat Malaysia mengetepikan bahasa Malaysia.
Pandang saja keliling bagaimana nama-nama taman perumahan yang semakin banyak menggunakan bahasa Inggeris. Lihatlah papan tanda di kiri dan kanan anda.
Pergilah pusat-pusat membeli-belah yang menggunakan bahasa Inggeris tanpa keperluan untuk itu. Kepentingan komersial dijadikan alasan sebagai menolak penggunaan bahasa kebangsaan.
Tanda-tanda seperti Toilet, Gents, No Parking, Entrance, Exit ditulis dengan di merata-rata bangunan di pusat-pusat membeli-belah. Nama pusat membeli-belah sudah memang tidak menggunakan bahasa Malaysia.
Perlu diingat tempat-tempat itu walaupun milik swasta tetapi ia adalah tempat awam yang dikunjungi oleh orang ramai secara terbuka. Umumnya oleh rakyat Melaysia sendiri yang sudah tentu faham apa makna Tempat Letak Kereta, Masuk, Keluar dan Sila Bayar Di Sini. Sudah pasti difahami.
Tetapi sebaliknya para perancang dan pengurusan berpegang bahawa rakyat Malaysia termasuk orang Melayu sekarang sudah pun faham bahasa Inggeris, maka sewajarnya mereka menggunakan bahasa Inggeris tanpa sebarang ragu-ragu untuk pemahaman.
Lagipun terdapat satu tanggapan yang menunjukkan bahawa dengan menggunakan bahasa Inggeris, imej sesuatu tempat akan naik dan ini meningkatkan nilai komersial.
Andaian mereka itu benar. Tetapi yang nyata mereka tidak ada rasa sayang kepada bahasa kebangsaan. Termasuk orang Melayu sendiri.
Jika sesuatu bangsa itu sudah tidak sayang kepada bahasa sendiri, tidak ada apa yang boleh dikatakan dan dilakukan.
Kalaulah dahulu Malayan Union berjaya diwujudkan, mungkin bahasa kebangsaan negara ini adalah Inggeris.
Mungkin negara ini akan lebih maju sekarang kerana penggunaan bahasa Inggeris itu. Maka cintailah bahasa Inggeris anda.