Industri penerbitan semakin berkembang saban tahun. Semakin banyak syarikat penerbitan yang menerbitkan pelbagai buku untuk bacaan orang ramai. Kebelakangan ini, lahir penerbitan indie yang mempelbagaikan lagi bahan bacaan dan memeriahkan industri perbukuan negara. Malah, ada usaha daripada pengarang sendiri untuk menerbitkan karya mereka sendiri melalui self-publishing dan print-on-demand.
Di Malaysia, usaha memandaikan bangsa dilakukan menerusi aktiviti penerbitan sebagai salah satu caranya. Setiap pihak sama ada penerbit, penulis, penjual dan pencetak mempunyai peranan masing-masing. Walaupun begitu, semua pihak ini bekerjasama untuk membangunkan industri penebitan negara. Penulis dan penerbit sentiasa saling membantu dalam mempromosikan karya yang ada. Melalui agensi kerajaan seperti MBKM dan Perbadanan Kota Buku, buku-buku tempatan dipromosikan melalui pelbagai Pesta Buku sehingga ke luar negara melalui perdagangan hak cipta.
Sekiranya anda berminat mendalami ilmu yang berkaitan dengan bidang penerbitan, Universiti Malaya menawarkan program Sarjana Pengajian Penerbitan menerusi Jabatan Pengajian Media, Fakuti Sastera dan Sains Sosial. Melalui program ini, pelbagai pihak daripada industri sering sering diundang untuk berkongsi ilmu dan pengalaman. Ini membantu mereka yang mengikuti program ini mengenal pasti isu dan perkembangan semasa dalam industri.
Program ini tidak terhad pada mereka yang terlibat secara langsung dengan penerbitan, malah semua yang berminat dengan aktiviti penerbitan termasuk penulis, pereka bentuk dan mereka yang baharu menamatkan pengajian peringkat Sarjana Muda turut dialu-alukan.