Selepas dikejutkan dengan kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Johor yang tegas, tetapi berjiwa rakyat minggu lepas, negara kehilangan seorang lagi tokoh penting. Perginya Tun Ghazali Shafie pada 24 Januari 2010 ke rahmatullah ibarat malapnya kerlipan sebutir bintang yang pernah menyinari kegelapan alam.
Allahyarham merupakan seorang tokoh yang berwibawa. Jika tidak, masakan beliau diberikan kepercayaan untuk berkhidmat di bawah empat orang Perdana Menteri Malaysia, daripada Tunku Abdul Rahman hinggalah Tun Dr Mahathir Mohamad. Beliau adalah antara tokoh penting yang terlibat dalam pembentukan Malaysia, malah menganggotai MAGERAN dalam usaha memulihkan keadaan negara akibat Peristiwa 13 Mei 1969.
Selain itu, Allahyarham Ghazali Shafie memainkan peranan penting dalam mencorakkan dasar luar Malaysia memandangkan perkhidmatannya dalam kabinet agak lama bermula pada tahun 1970. Allahyarham pernah dilantik sebagai Menteri Tugas-tugas Khas, Menteri Tugas-tugas Khas, Menteri Dalam Negeri dan Penerangan, serta Menteri Luar Negeri.
Banyak sumbangan diberikan semasa menjawat jawatan tersebut. Allahyarham ialah orang yang bertanggungjawab membentuk, merangka dan melaksanakan Dasar Ekonomi Baru serta merangka merangka Rancangan Malaysia Kedua 1970-1975. Dasar luar semasa zaman Tun Abdul Razak diperkukuhkannya dengan pembentukan ICG iaitu Majlis Antara Kerajaan-Kerajaan. Malah Allahyarham juga pernah menjadi pegawai kerajaan dan duta kanan ke PBB. Peranan beliau amat berkesan bagi menghadapi kebanjiran pendatang haram Vietnam ke Pulau Bidong, Terengganu pada tahun 1975.
Oleh sebab itu, Allahyarham Ghazali Shafie dikenali sebagai sosok yang berwibawa dan berpengaruh. Daya inteleknya yang tinggi di samping penguasaannya dalam soal seni dan budaya membolehkan beliau meletakkan diri sebagai tokoh politik yang disegani. Hubungan baiknya dengan Perdana Menteri Hussein Onn sering menimbulkan anggapan bahawa Ghazali ialah orang di belakang tabir dalam banyak keputusan politik Hussein.
Malahan ketegasan Hussein dalam menangani komunis sering diterjemahkan sebagai ketegasan Ghazali. Justeru banyak yang menuding kepadanya apabila Tiga Abdul—Abdul Samad Ismail, Abdullah Ahmad, dan Abdullah Majid—ditahan di bawah ISA atas tuduhan subversif komunis. Pengaruhnya yang besar terhadap percaturan politik menyebabkan julukan “King Ghaz” melekat padanya.
Beliau juga digeruni oleh para wartawan kerana sikapnya yang garang. Beliau sentiasa mengharapkan para wartawan mempunyai pengetahuan lengkap mengenai sesuatu isu atau perkara yang ingin ditanyakan kepada beliau. Ini menyebabkan ramai wartawan cukup berhati-hati apabila berdepan dengan beliau ketika membuat liputan. Ini diakui oleh Datuk A. Kadir Jasin dan Datuk Seri Zainuddin Maidin yang pernah menjadi wartawan yang bertugas pada zamannya.
Sesungguhnya, Tun Ghazali Shafie adalah salah seorang tokoh yang sukar dicari ganti memandangkan jasa dan sumbangan yang diberikan sepanjang hayatnya. Maka, selayaknya Allahyarham terpilih sebagai salah seorang tokoh yang berpengaruh dalam buku “100 Tokoh Malaysia Berpengaruh” yang ditulis oleh Hamedi Mohd Adnan yang kini dalam proses penerbitan.
0.000000
0.000000