Penggunaan laman jaringan sosial sebagai salah satu alat komunikasi sosial semakin meningkat. Ramai yang sudah mengenali Facebook, Friendster, MySpace, Twitter, dan sebagainya. Malah laman-laman ini telah digunakan oleh pelbagai lapisan masyarakat di seluruh negara.
Malaysia berada di tangga ketiga dari segi penggunaan laman sosial ini, iaitu sebanyak 66% pada bulan Disember 2008, selepas Singapura dan Korea Selatan, iaitu masing-masing sebanyak 74.3% dan 68%. Facebook yang diperkenalkan oleh Zuckernberg, yang bermula untuk kegunaan komuniti kolej berkembang menjadi laman sosial paling popular di kebanyakan negara di seluruh dunia. Di Malaysia, jumlah penggunanya dikatakan melebihi 6 juta orang.
Selain Facebook, banyak lagi laman sosial global yang mendapat perhatian orang ramai. Antaranya Friendster, MySpace, Flixter, LinkedIn, Twitter, Tagged, Orkut, dan Bebo. Ada juga yang menggunakan lebih daripada satu laman sosial pada satu-satu masa.
Keghairahan orang ramai terhadap laman sosial ini menyebabkan ada usaha untuk mewujudkan laman sosial tempatan yang dikatakan lebih sesuai dengan persekitaran sosial dan budaya di sini. Oleh sebab itu, sejak dua tahun lepas muncul pelbagai laman sosial atas inisiatif organisasi dan rakyat tempatan sendiri.
Antaranya ialah MyKawan, FriendX, dan MyRakan. Ada juga Ikon.my yang dibangunkan oleh seorang pelajar yang sedang mengikuti pengajian di Australia. Selain itu, muncul Ruumz dan Kakiies yang selain boleh diakses di web, boleh juga diakses menerusi telefon bimbit.
Namun, sejauh manakah laman sosial tempatan ini mendapat perhatian dan digunakan di Malaysia? Adakah kewujudannya diketahui umum sebagaimana laman sosial global? Mampukah laman sosial ini bersaing dan menarik perhatian rakyat Malaysia yang telah lama terpengaruh dengan Facebook, Friendster, Orkut, dan sebagainya? Yang penting, apakah perbezaan dan kelebihan laman sosial tempatan sosial yang dibangunkan ini dengan laman sosial global yang sedia ada?