Di Malaysia, golongan pembaca novel, terutama remaja, merupakan pembaca yang utama. Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Mohamad Mokhtar dan Hamedi (2004), hampir 95 peratus responden menyatakan mereka berminat membaca novel manakala hanya 4.5 peratus yang menyatakan mereka tidak berminat langsung dengan novel Melayu.
Minat masyarakat terhadap novel Melayu menyebabkan lahirnya karya-karya popular. Popular bermaksud “digemari atau disukai ramai”. Holman dan Harmon (1992) mentakrifkan sastera popular seperti berikut:
Writing in one of the commercially viable modes, especially prose fiction. This literature is valued on a strictly quantative basis—number of copies sold. It is both creature and creator of popular taste, and it may be a more reliable index of what the majority of people really have in ther minds.
Ciri utama yang menentukan sesebuah karya sastera itu popular atau sebaliknya diukur pada banyak atau sedikit jumlah naskhah yang terjual. Di Malaysia, kalau sesebuah buku laris jualannya, buku itu sudah dapat dipanggil mahakarya dan dikategorikan sebagai buku sastera popular. Oleh itu, bagi T. Alias Taib (Dewan Sastera Julai 2001), sastera popular tidak semestinya sastera remaja semata-mata yang difahami hari ini. Sastera popular juga kadangkala juga cereka serius seperti yang berlaku pada Hartini karya Aziz Afkar atau Salina karya A. Samad Said yang diulang cetak berkali-kali.
Namun, dalam industri buku, karya popular dalam kalangan pembaca ialah novel yang tidak “memeningkan” kepala, yang sampai langsung ke hati pembaca. Ini termasukkan novel yang menyingkap rahsia dan kerenah anak-anak muda belasan tahun di bawah cakerawala remaja. Menurut T. Alias Taib (Dewan Sastera Julai 2001), novel “berat” (atau serius) yang mengajak pembaca berfikir ibarat meredah hutan masalah dan falsafah manakala novel “ringan” (atau popular) ibarat gurun Sahara yang datar dan kering.
Bagi Othman Puteh (1999: 104-105), pembaca karya kreatif ini boleh dibahagikan kepada tiga kelompok seperti yang berikut:
- Pembaca karya popular. Karya-karya popular ini bersifat semasa, mudah dalam pelbagai unsur struktur dalamannya, ditampilkan dengan teknik mudah-lurus, dramatik, mementingkan hiburan kesantaian dengan tema-tema keluarga, cinta, dan konflik biasa.
- Pembaca yangit sederhana yang mahu bukan sahaja karya-karya yang membawa unsur hiburan tetapi dibarengi dengan muatan yang bernas, agak mencabar minda, dan memberi manfaat kepada pembacanya.
- Pembaca karya serius yang benar-benar memiliki nilai-nilai artistik dan estetika. Di samping itu, tema dan teknik penulisannya canggih, istimewa, luar biasa, dan unik.
Daripada ketiga-tiga kelompok tersebut, pembaca karya popular adalah yang paling ramai. Novel-novel terbitan Alaf 21 Sdn. Bhd. seperti Skandal karya Richie Rachman misalnya, berjaya dijual sehingga 25,000 naskhah, Tak Seindah Mimpi hasil tulisan Sharifah Abu Salem pula terjual sebanyak 50,000 naskhah, dan Suite 1908 karya Sri Diah sebanyak 60,000 naskhah (Massa, 18 Januari 2003). Karya sastera serius pula sukar untuk dijual. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sendiri yang diibaratkan penaung dunia sastera terpaksa berhempas-pulas untuk menjual karya-karya terbitannya. Malah, untuk menjual 5,000 naskhah hasil karya sasterawan terkenal mengambil masa sehingga lima tahun.
Situasi ini bukan sahaja dihadapi di Malaysia, malah negara yang memiliki tradisi kesusasteraan yang kuat dan rencam seperti Amerika Syarikat juga berdepan dengan masalah yang sama. Novel-novel popular sering disenaraikan dalam senarai buku terlaris di pasaran. Karya Sidney Sheldon, The Best Laid Plans, bagi cetakan pertama misalnya, dicetak sebanyak sejuta naskhah. Karya Clive Cussler berjudul Flood Tide dicetak permulaan sebanyak 750 ribu naskhah. Novel Stephen King, Wizard and Glass pula dicetak sebanyak 1.5 juta naskhah dan Danielle Steel dengan The Ghost sebanyak 1.2 juta naskhah (Dewan Sastera, Julai 2001). Karya-karya ini dinamakan sebagai karya pop-corn di Amerika. Penulis sastera serius merasa kian tergugat dengan penulis popular yang menghasilkan novel-novel pop-corn ini.
Keadaan ini menyebabkan pengarang/penulis muda hari ini lebih ghairah menulis karya popular. Tidak seperti penulis-penulis pada zaman sekitar tahun 1960-an dan 1970-an yang lebih mementingkan mesej yang ingin disampaikan kepada masyarakat, penulis abad ini terlalu terikut dengan keseronokan dan lebih mementingkan selera pembaca semata-mata. Para penerbit—terutama penerbit swasta—juga lebih cenderung kepada karya popular kerana ia lebih mendapat sambutan.
Novel-novel popular ini sebenarnya hadir kerana wujudnya permintaan daripada masyarakat. Menurut Jaafar Rahim, Ketua 1 Kelab Penulis Kuala Lumpur (KALAM), “Generasi hari ini bukan seperti 30 tahun yang lalu. Mereka tidak kisah dengan perjuangan orang Melayu ataupun konflik moraliti sesebuah bangsa. Mereka juga sudah tidak berkenan dengan bahasa sastera yang serius tetapi mahukan bahan bacaan yang lebih santai tetapi mencabar” (Massa, 18 Januari 2003). Berdasarkan kajian “Sambutan Khalayak Terhadap Novel Melayu di Malaysia” yang dilakukan oleh Mohamad Mokhtar dan Hamedi pada tahun 2004 hanya 8.9 peratus responden yang meminati novel serius dan selebihnya lebih meminati novel-novel popular termasuk novel remaja dan novel picisan (Mohamad Mokhtar Hassan 2006).
Kehadiran begitu banyak novel popular yang berkisarkan tema kekeluargaan dan percintaan—di samping isu semasa yang berkaitan dengan dunia korporat orang Melayu yang penuh dengan ranjau—yang dihasilkan oleh penulis-penulis muda kini sebenarnya sedikit sebanyak menimbulkan kebimbangan kepada dunia kesusasteraan di Malaysia. Banyak diskusi dan forum diadakan untuk membincangkan isu ini.
Ini sebenarnya merupakan fenomena global yang tidak dapat dielakkan dan keadaan akan berubah mengikut perubahan zaman. Golongan muda yang menggemari novel-novel popular akan meningkat dewasa dan peredaran masa akan mengubah minat pembacaan mereka. Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said turut berpendapat bahawa apabila usia meningkat, keadaan sekeliling akan mendera mereka membaca karya yang lebih serius.
Bagi Shahnon Ahmad (1994), karya sastera—seperti novel—sebenarnya adalah sulit dan rahsia, disulit dan dirahsiakan oleh sasterawan melalui wadah yang membentuk karyanya kerana makna kehidupan itu sendiri pun adalah sulit dan rahsia. Hanya kepada “orang-orang yang suka berfikir” yang benar-benar dapat merasai keindahan, kenikmatan, dan kebenaran sastera. Bagi mereka yang tidak gemar berfikir, sastera yang sulit dan rahsia tidak mampu diapresiasinya. Inilah yang berlaku pada kebanyakan golongan muda sekarang. Membaca bagi mereka sekadar hiburan pada masa lapang.
Para penerbit dan penulis menyedari keadaan ini dan kebanyakannya hanya menuruti keadaan pasaran semasa. Dengan memahami faktor persekitaran dan sosial masyarakat, penerbit akan cuba mencari penulis yang mampu menghasilkan manuskrip yang sesuai dan memenuhi selera semasa ini dan seterusnya menerbitkan novel yang sesuai dengan kehendak dan cita rasa peminat novel Melayu.
Maka, lahirlah novel-novel popular yang berfokuskan pada emosi yang kebanyakannya bertemakan kekeluargaan dan percintaan. Novel-novel ini berjaya terjual beribu-ribu naskhah dan diulang cetak. Novel sedemikian mendapat sambutan di kalangan remaja dan belia yang sememangnya merupakan golongan yang mempunyai tabiat membeli yang memberangsangkan yang secara langsung memberi sumbangan kepada kelangsungan sesebuah penerbit.
0.000000
0.000000